Kelebihan Istighfar
JADIKANLAH 'ISTIGHFAR' SEBAGAI AMALAN...
Suatu hari Hassan Al Bashri, salah seorang tabiin didatangi oleh seorang
lelaki yang mengadu mengenai keadaan daerahnya yang kering kontang
kerana sudah lama tidak hujan.
Maka Hassan berkata, ``Mohonlah ampun kepada Allah.''
Kemudian datang pula seorang lagi sahabatnya yang mengadu bahawa dirinya ditimpa kemiskinan.
Sekali lagi, Hassan menjawab, ``Mohonlah ampun kepada Allah.''
Tidak lama kemudian datang pula seseorang meminta didoakan agar
dikurniakan anak dan jawapan Hassan ialah ``beristighfarlah kepada
Allah.''
Kemudian datang lagi orang yang lain mengadukan tentang kebunnya yang tandus, Hassan juga memintanya supaya beristighfar.
Jawapan Hassan itu menimbulkan rasa tidak puas hati para sahabatnya,
lalu mereka bertanya kepada Hassan mengapa semua masalah itu hanya dapat
diselesaikan melalui istighfar.
Hassan berkata, ``Saya tidak mengatakan semua itu secara suka-suka.
Tetapi, berdasarkan firman Allah dalam surat Nuh ayat 10-12 yang
bermaksud:
``Maka aku katakan kepada mereka,'' Mohonlah ampun kepada Tuhanmu,
sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan
hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu,
mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu
sungai-sungai. ''
Apa yang dinyatakan oleh Hassan itu seolah-olah tidak berlaku pada zaman
sekarang yang lebih banyak melihat sesuatu yang berlaku itu secara akal
fikiran atau rasional semata-mata.Setiap sesuatu yang terjadi kepada
kita, tidak pernah dianggap sebagai akibat daripada dosa-dosa yang telah
kita lakukan.
Lanjutan itu, dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah kita
hakikatnya hanya mencipta masalah baru. Sedangkan Allah telah berfirman
dalam Surah As-Syura ayat 30 yang bermaksud: ``Dan apa sahaja musibah
yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu
sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan
mu).''
Peringatan Allah ini sebenarnya tidak pernah dipedulikan oleh sebahagian
daripada kita, sebaliknya kita lebih banyak menggunakan kekuatan
fikiran untuk menyelesaikan masalah.Istighfar hakikatnya adalah jalan
terbaik untuk memberi kita petunjuk dalam menyelesaikan apa juga masalah
yang kita hadapi.
Ia akan menimbulkan keinsafan dan ia akan mendorong kita menghentikan
perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan dosa.Sama ada kita hendak
mengakui atau tidak, kita sering melupakan azimat Allah ini sehingga
setiap kali kita menghadapi apa juga masalah kita terlupa untuk
beristighfar kepada-Nya.
Justeru marilah kita menjadikan istighfar sebagai amalan tetap kita
seharian, sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih ^_^